KUCHING: Peruntukan untuk bina baharu dan baik pulih rumah rakyat termiskin (PPRT) sewajarnya harus diberi kepada Sarawak di bawah teras kelima Rancangan Malaysia Ke12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sbari Yaakob semalam.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, rumah merupakan keperluan asas manusia dan Sarawak masih ramai keluarga miskin memerlukan bantuan bina baharu dan baik pulih rumah.
Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana antara sembilan fokus untuk RMK-12 memberi tumpuan kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah, katanya dalam kenyataan mengulas pembentangkan RMK-12 semalam.
Beliau berkata, Perdana Menteri secara khusus, terang dan jelas menekankan komitmen untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan tuntutan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui fokus ketujuh.
Fokus ketujuh ‘Melonjakkan Pembangunan Sarawak dan Sabah membuktikan kesungguhan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan tempo pembangunan di kedua-dua negeri tersebut, tegas beliau.
“Ini bertepatan dengan keperluan di Sarawak yang masih tidak setara, berdiri belum sama tinggi, duduk belum sama rendah berbanding dengan Semenanjung dalam aspek infrastruktur asas seperti jalan kampung dan jalan penghubung desa, perparitan dan pembangunan infrastruktur untuk pendigital juga sangat diperlukan di luar bandar,” kata Fatimah.
Jurang antara bandar dan luar bandar semasa dalam pelaksanaan dan keberkesanan PDPR sangat jelas dan ini harus diberi tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan, katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti